Kubur Zara Qairina digali semula secepat mungkin : Saifuddin
9 OGOS : Proses menggali semula kubur Allahyarham Zara Qairina Mahathir akan dijalankan dalam masa terdekat sesuai arahan rasmi terbaharu dikeluarkan Jabatan Peguam Negara (AGC).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan beliau sudah diberi taklimat berkait perkara itu pagi tadi.
“Memandangkan kita baru menerima arahan, jadi pagi tadi saya sudah diberi taklimat oleh Ketua Polis Negara dan kita akan melakukan proses gali kubur secepat mungkin.
“Sudah tentu kita akan fokus untuk mengemaskini siasatan selain mengumpul semua bukti. Polis tidak akan berkompromi dengan prinsip keadilan,” katanya pada sidang media ketika menghadiri Ijtimak MADANI Ulama dan Guru Pondok Kelantan 2025 di UiTM Machang, hari ini.
Semalam, AGC mengeluarkan arahan untuk menggali semula kubur susulan terdapat keperluan untuk menjalankan prosedur bedah siasat ke atas jenazah pelajar Tingkatan 1 itu yang sebelum ini dikebumikan tanpa sebarang pemeriksaan forensik.
Pada 16 Julai lalu, Allahyarham Zara Qairina ditemui parah dan tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya selepas dikatakan terjatuh dari tingkat tiga.
Allahyarham kemudiannya disahkan meninggal dunia jam 11 pagi di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu, keesokan harinya.
Kematiannya itu dikaitkan dengan perlakuan buli namun keluarga mangsa mendakwa siasatan awal yang dijalankan tidak lengkap.
Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata pihak berkuasa akan bertindak segera dengan profesional dalam melaksanakan arahan AGC berkenaan.
Beliau sempat menyeru agar masyarakat menghormati proses undang-undang dan tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.