10 OGOS : Isu penjualan semula tiket konsert pada harga yang berlipat kali ganda (ticket scalping) sedang diteliti kerajaan.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching memaklumkan pihaknya mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkait isu itu.
Katanya, kementerian sedang melaksanakan kajian dengan kemungkinan untuk membawa rang undang-undang berkaitan.
“Setakat ini kami dimaklumkan KPDN sedang meneliti isu ini dan ada kemungkinan rang undang-undang akan dibentangkan. Bagaimanapun, saya tidak boleh membuat sebarang pengumuman bagi pihak mereka.
“Pihak Kementerian Komunikasi juga sudah berbincang bukan sahaja dengan KPDN, malah dengan penganjur acara dan syarikat-syarikat tiket bagi mencari penyelesaian paling sesuai untuk isu ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Program Geran Digital PMKS Madani (GDPM), Festival 2025 Peringkat Negeri Johor di Permas Jaya, hari ini.
Mengulas lanjut, Nie Ching memaklumkan perbincangan dengan KPDN dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dijalankan sebelum ini bagi mendengar pandangan serta cadangan secara langsung dalam pemantauan serta penguatkuasaan penjualan tiket konsert.
“Isu ini sering timbul apabila melibatkan konsert artis antarabangsa berprofil tinggi seperti G-Dragon, yang menyaksikan permintaan luar biasa sehingga membuka ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab menjual semula tiket pada harga jauh lebih tinggi daripada nilai asal.
“Saya difahamkan, pada konsert G-Dragon, ada individu yang sanggup membayar sehingga lima kali ganda harga tiket berbanding harga asal kerana mereka sangat meminati artis berkenaan,” katanya.