11 OGOS : Lima petugas media daripada Al-Jazeera yang terkorban dalam serangan Israel di Gaza menjadi bukti perjuangan menegakkan keadilan tidak akan pernah padam meski nyawa menjadi taruhan.
Demikian reaksi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terhadap berita tragedi yang meragut lima nyawa ketika Israel mensasarkan khemah media yang terletak berhampiran Hospital Al-Shifa di barat Bandar Gaza.
“Saya dengan penuh rasa dukacita menerima khabar mengenai tragedi di Gaza yang telah meragut nyawa lima petugas media Al Jazeera Anas al-Sharif, Mohammed Qreiqeh, Ibrahim Zaher, Moamen Aliwa dan Mohammed Noufal akibat serangan terancang tentera Israel di Bandar Gaza.
“Mereka gugur ketika menjalankan tugas mulia menyampaikan kebenaran dan melaporkan keadaan sebenar di lapangan demi membuka mata dunia terhadap penderitaan rakyat Palestin.
“Keberanian dan pengorbanan mereka adalah bukti bahawa perjuangan menegakkan keadilan tidak akan pernah padam, walaupun nyawa menjadi taruhan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di Facebook rasminya, hari ini.
Lima wartawan tersebut maut dalam serangan Israel yang diakui rejim itu sambil mengaitkan Anas dengan Hamas.
Dalam kenyataan sama, Ahmad Zahid menzahirkan ucapan takziah kepada semua keluarga mangsa yang terlibat.
“Saya ingin merakamkan ucapan takziah yang amat mendalam kepada keluarga semua mangsa dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kejam ini yang jelas melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
“Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para syuhada,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid menegaskan Malaysia akan terus bersuara di pentas dunia, memperjuangkan keadilan untuk rakyat Palestin serta menuntut penghentian segera serangan terhadap wartawan dan petugas kemanusiaan.