8.6 juta rakyat terima STR Fasa 3 mulai esok

11 OGOS : Kerajaan MADANI akan menyalurkan pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 kepada 8.6 juta rakyat mulai esok.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan penyaluran kali ini melibatkan peruntukan sebanyak RM2 bilion sebagai langkah meringankan beban kos sara hidup isi rumah berpendapatan rendah.
Menurutnya, rakyat akan menerima bayaran sehingga RM650 dalam penyaluran fasa kali ini.
“Jumlah ini merupakan peningkatan seramai 300,000 daripada 8.3 juta penerima Fasa 1 pada Januari 2025. Peningkatan ini hasil daripada langkah Kerajaan MADANI membuka permohonan baharu dan rayuan sepanjang tahun bagi memastikan bantuan sampai kepada semua yang layak.
“Pembukaan permohonan dan rayuan sepanjang tahun menunjukkan Kerajaan MADANI tidak mengambil enteng amanah yang dipikul untuk meningkatkan maslahat rakyat terbanyak, agar tiada yang tercicir daripada mengecapi limpahan negara,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata bantuan kali ini memberi suntikan kepada penerima untuk mencapai kebebasan kewangan.
“Lebih daripada bantuan tunai semata-mata, STR memberi suntikan kepada penerima untuk mencapai kebebasan kewangan, agar kita dapat menggapai kesaksamaan yang didambakan dalam Ekonomi MADANI,” katanya.
Pembayaran STR Fasa 3 akan dibuat kepada penerima sedia ada dan penerima baharu yang berdaftar dalam pangkalan data STR melalui pengkreditan ke dalam akaun bank atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat mengikut kategori kelayakan masing-masing.
Menurut kementerian itu, sekiranya nama pemohon tiada dalam pangkalan data STR, mereka perlu membuat permohonan bagi membolehkan proses verifikasi mengikut kategori kelayakan STR dimuktamadkan.
Mengikut jadual bayaran yang disertakan, isi rumah dengan pendapatan di bawah RM2,500 akan menerima bayaran antara RM150 hingga RM650 sementara isi rumah berpendapatan lebih antara RM2,501 hingga RM5,000 akan menerima bayaran antaran RM150 hingga RM300.
Sementara warga emas tiada pasangan dan golongan bujang akan menerima RM150.
Orang awam dinasihatkan agar sentiasa berwaspada terhadap pautan tidak sahih yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mendapatkan maklumat mengenai STR.
Soalan lazim (FAQ) dan semakan status kelayakan STR boleh didapati di Portal Rasmi STR, melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my.