Kenyataan Media
Istana Seri Kinabalu
Tuan Yang Terutama Tun Dr Musa Aman, Yang di-Pertua Negeri Sabah telah mengarahkan pihak berkuasa yang berkaitan untuk menjalankan siasatan menyeluruh dan telus berhubung kematian tragis Allahyarham Zara Qairina Mahathir. Bedah siasat telah dilakukan semalam dan siasatan kini sedang dijalankan dan menunggu hasil bedah siasat tersebut.
Siasatan ini mestilah dilaksanakan dengan penuh ketelitian, tanpa rasa takut atau pilih kasih, berlandaskan kepada kebenaran dan keadilan. Setiap aspek mesti disiasat sepenuhnya.
Menuntut keadilan bukanlah satu bentuk pembalasan. Sebaliknya ianya adalah suatu perintah Allah SWT untuk melindungi yang lemah dan menghukum mereka yang bersalah.
Pada masa yang sama, pihak istana menyeru orang ramai, terutamanya pengguna media sosial, supaya tidak membuat sebarang spekulasi, menyebarkan tuduhan tidak berasas atau menggalakkan teori konspirasi berhubung kes ini.
Tindakan sedemikian bukan sahaja boleh menggugat integriti siasatan malah boleh menyebabkan kesedihan yang lebih mendalam kepada keluarga Zara yang sedang berduka.
Pihak Istana juga menyeru agar semua pihak memberi ruang kepada proses undang-undang untuk berjalan dengan adil, serta berdiri seiring dengan keluarga Zara dalam mencari jawapan dan penyelesaian kes ini.
Tuan Yang Terutama Tun dan Toh Puan bersama seluruh rakyat di negara ini, merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga Zara. Semoga keluarga Zara diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi dugaan yang amat berat ini.
Sementara itu, Majlis Tahlil dan Doa Peringkat Negeri khusus untuk Allahyarham Zara akan diadakan pada hari Khamis, 14 Ogos 2025 selepas solat maghrib di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu. Majlis yang sama akan turut diadakan secara serentak di semua masjid dan surau di seluruh negeri pada tarikh berkenaan.
Tuan Yang Terutama Tun menggalakkan umat Islam untuk hadir bersama-sama di majlis tersebut dan juga mengalakkan mereka yang bukan beragama islam berdoa untuk Zara mengikut kepercayaan masing-masing.
Keselamatan dan kebajikan anak-anak kita mestilah sentiasa menjadi keutamaan kita semua.
Akhir sekali, Tuan Yang Terutama Tun mendoakan semoga Allah SWT menempatkan Allahyarhamah Zara dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh serta memberikan kekuatan kepada kita untuk melindungi anak masing-masing bagi mengelakkan berulangnya tragedi seperti itu pada masa hadapan.
Istana Seri Kinabalu
*FOTO : BERNAMA