12 OGOS : Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menerima memorandum daripada sekumpulan aktivis susulan kematian pelajar, Zara Qairina Mahathir.
Perkara itu disahkan sendiri Fadhlina melalui kenyaataan di Facebok rasminya, hari ini.
“Pagi ini telah berlangsung himpunan aman dan acara penyerahan memorandum #KeadilanUntukZara di Taman Tugu dan pintu utama Parlimen Malaysia.
“Kementerian Pendidikan (KPM) yang diwakili Ketua Setiausaha, Datuk Dr Ts Aminuddin Hassim telah menerima memorandum tersebut.
“Kemudian, saya telah menerima kunjungan wakil aktivis pelajar di Bangunan Parlimen Malaysia bagi membincangkan secara lanjut semua kebimbangan yang dibangkitkan,” katanya.
Menurut Fadhlina, terdapat empat tuntutan yang dikemukakan dalam memorandum itu ditujukan khusus kepada KPM termasuk desakan reformasih
“Pertama, melaksanakan reformasi menyeluruh terhadap sistem pendidikan nasional khususnya berkaitan isu buli. KPM telah mengumumkan beberapa langkah penting dalam usaha meningkatkan keselamatan di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya.
“Ini termasuk dengan melakukan audit keselamatan, tambah baik sistem aduan buli, menubuhkan jawatankuasa reformasi keselamatan, mengambil tindakan tegas gantung dan buang sekolah bagi salah laku buli dan memastikan aspek sokongan psikososial terus diperkukuhkan di setiap peringkat.
“Kedua, sesi libat urus bagi membentuk SOP yang jelas dan tegas terhadap kes buli. KPM bersetuju dengan cadangan ini dan akan melaksanakan sesi libat urus dengan semua pemegang taruh bagi memberi pencerahan berkenaan garis panduan menangani salah laku buli yang sedang berkuat kuasa,” jelasnya.
Sementara itu, tuntutan ketiga melibatkan mewajibkan latihan mandatori dan berkala kepada semua guru, pentadbir dan warden mengenai intervensi krisis, pengurusan emosi pelajar serta tatacara profesional pengendalian aduan yang berpihak kepada mangsa.
“Keempat, memberi penjelasan terbuka kepada masyarakat mengenai isu ini khususnya tindakan yang telah diambil oleh pihak sekolah.
“KPM menyambut baik langkah PDRM mewujudkan pasukan petugas khas bagi menangani kes yang melibatkan Allahyarham anakanda Zara Qairina. Kementerian memberi kerjasama penuh terhadap siasatan yang dilaksanakan pihak polis,” katanya.
Beliau sempat menzahirkan rasa duka cita atas kemalngan yang meragut nyawa pelajar di Sabah itu.
“Kes ini sememangnya menjadi perhatian utama Kementerian. Saya meletakkan seluruh harapan supaya kebenaran dan keadilan dapat ditegakkan,” katanya.