13 OGOS : Anak kepada bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli diserang seorang lelaki ketika hendak memasuki kereta di sebuah pusat membeli-belah di Putrajaya, hari ini.
Perkara itu dimaklumkan Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan.
“Sekitar jam 1.45 petang ini, semasa anak dan isteri saya memasuki kereta untuk meninggalkan sebuah pusat membeli belah di Putrajaya, secara tiba-tiba seorang lelaki mengheret anak saya dan mencucuknya dengan jarum suntikan.
“Semakan menunjukkan dua orang lelaki yang menaiki sebuah motosikal telah mengekori kereta isteri saya. Pada hemat saya, mereka telah merancang serangan itu lebih awal,” katanya.
Rafizi memaklumkan perkara itu dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Namun mangsa berusia 12 tahun itu tidak mendapat sebarang kecederaan dan sudah diperiksa di hospital.
Menurut Rafizi, sepanjang menjadi ahli politik berprofail awam, ini kali pertama keluarganya menjadi sasaran serangan dan ugutan seumpama hari ini.
“Saya percaya serangan ini adalah satu amaran kepada saya supaya tidak bersuara lantang dalam beberapa isu tertentu.
“Insya Allah, sementara saya akan mengambil langkah susulan untuk meningkatkan kawalan keselamatan, saya juga tidak akan tunduk kepada sebarang ugutan dan akan terus menjalankan tugas saya seperti biasa,” katanya.
Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memandang serius kejadian itu dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) digerakkan untuk menyiasat secara menyeluruh bagi mengenal pasti dan membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.
“Perlu saya tegaskan juga bahawa semua siasatan dijalankan secara adil dan berlandaskan undang-undang, tanpa dipengaruhi oleh status atau latar belakang mana-mana pihak, selaras dengan tanggungjawab PDRM memastikan keselamatan dan keadilan untuk semua rakyat termasuk kanak-kanak.
“Keselamatan rakyat adalah keutamaan dan tiada kompromi terhadap sebarang bentuk keganasan atau ancaman,” katanya.