13 OGOS : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memulakan Rundingan Awam selama dua minggu mulai 12 Ogos 2025 berkenaan cadangan Kerangka Peraturan bagi Pesanan Elektronik Komersial Tidak Diingini (UCEM) atau lebih dikenali sebagai ‘Spam’.
Menurut suruhanjaya itu, langkah itu selaras dengan Seksyen 233A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang diperkenal melalui pindaan perundangan dan diwarta pada Februari 2025.
“Kerangka peraturan ini bertujuan memperkukuh perlindungan pengguna, menggalakkan amalan pemasaran digital yang bertanggungjawab serta memupuk ekosistem digital yang lebih selamat dan dipercayai.
“Selaras dengan peruntukan baharu ini, MCMC sedang merangka perundangan subsidiari bagi mewujudkan struktur kawal selia yang jelas, utuh dan berkesan untuk menangani peningkatan penghantaran UCEM,” menurut MCMC dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, MCMC berkata Rundingan Awam itu bagi mengundang maklum balas daripada pelbagai pihak berkepentingan termasuk pemain industri, pertubuhan masyarakat sivil, kumpulan pengguna, pembuat dasar, dan orang awam.
“Semua pihak dijemput untuk meneliti dokumen rundingan dan mengemukakan pandangan terhadap pendekatan kawal selia yang dicadangkan.
“MCMC mengalu-alukan input daripada semua pihak yang berminat sepanjang tempoh rundingan yang berlangsung dari 13 Ogos 2025 hingga 5 petang, 27 Ogos 2025,” kata MCMC lagi.
Menurut suruhanjaya itu, inisiatif tersebut mencerminkan komitmen pihaknya terhadap proses pembentukan dasar yang telus, inklusif, konsultatif dan berasaskan bukti.
Untuk maklumat lanjut dan mengakses dokumen rundingan, sila layari https://www.mcmc.gov.my/en/media/announcements/public-consultation-onunsolicited-commercial-ele