13 OGOS : UMNO menyambut baik keputusan sebulat suara tiga Hakim Mahkamah Persekutuan hari ini berkait Titah Adendum.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata keputusan mahkamah yang mengarahkan semakan segera terhadap titah itu memberi kelegaaan terhadap pihaknya.
“UMNO bersyukur ke hadrat Allah dan menyambut baik keputusan sebulat suara ketiga-tiga Hakim Mahkamah Persekutuan yang mengarahkan semakan kehakiman Datuk Seri Mohd Najib Razak berkaitan Titah Adendum agar disegerakan pendengarannya di Mahkamah Tinggi.
“Keputusan ini memberikan kelegaan terhadap usaha-usaha untuk mendapatkan keadilan buat Datuk Seri Najib dan akan terus beriltizam untuk menggunakan semua saluran yang ada untuk mendapatkan pembelaan buat Datuk Seri Najib,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO, malam ini.
Terdahulu, Hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof berkata persoalan sama ada Titah Adendum itu wujud atau sah hanya boleh ditentukan pada peringkat perbicaraan di Mahkamah Tinggi.
Sementara itu, Asyraf menegaskan pihaknya memberi amaran keras terhadap tindakan pparti gabungan yang mengizinkan kemasukan ahli Umno ke parti masing-masing.
“UMNO akan menyampaikan nota bantahan kepada semua kepimpinan parti-parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan Malaysia yang bercadang mahupun yang telah mengizinkan kemasukan ahli-ahli daripada UMNO ke dalam parti masing-masing.
“Protes ini merupakan amaran keras, jika tidak ditangani boleh mengeruhkan hubungan sesama parti-parti gabungan,” katanya.
Pada Julai, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengesahkan sudah menjadi ahli PKR dan diterima sebagai ahli PKR bagi Cabang Ampang.
Dalam perkembangan lain, UMNO menzahirkan rasa duka cita atas tragedi yang menimpa pelajar sebuah sekolah di Sabah, Zara Qairina Mahathir hingga menyebabkan kematian.
Pada masa sama, UMNO turut melahirkan kekecewaan terhadap cara pengendalian kes itu.
“UMNO amat dukacita dan cukup terhiris dengan tragedi kematian Arwah Adik Zara Qairina Mahathir. Pengendalian kes ini yang dilihat amat lemah bahkan tidak mematuhi prosedur dan SOP biasa sebagaimana perakuan pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) amat mengecewakan.
“UMNO menyokong penuh keputusan Jabatan Peguam Negara untuk Inkues penuh dijalankan untuk menentukan punca dan sebab kematian termasuk sama ada terdapat unsur jenayah atau sebaliknya dalam kematian Zara Qairina.
“Moga-moga proses inkues ini kelak akan dikendalikan secara bebas dan telus mengikut peruntukan undang-undang bagi mendapatkan keadilan tuntas buat Arwah Zara Qairina,” katanya.
Menyentuh soal isu pemasangan Jalur Gemilang, Asyraf berkata UMNO memandang serius bagi kesalahan berulang dalam isu pemasangan dan pengibaran bendera yang merupakan maruah juga lambang kedaulatan negara.
“Tindakan tegas dan keras termasuk pendakwaan mesti dilakukan ke atas sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan ini tanpa mengira apa jua alasan sebagaimana peruntukan undang-undang yang sedia ada,” katanya.
*OLEH : HANUM RAJAK