14 OGOS : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita di Dewan Rakyat atas serangan yang berlaku ke atas anak bekas menteri, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata budaya seumpama itu semakin melampau berlaku di negara ini.
“Kita menzahirkan rasa dukacita kerana sudah ada budaya agak melampau dalam negara kita, selain buli, kemudian kematian dan kini anak Ahli Parlimen Pandan menerima serangan.
“Saya telah menghubungi Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) dan Ketua Polis Negara (Datuk Seri Mohd Khalid Ismail) untuk meneruskan siasatan yang telus dan rapi kerana budaya ini sangat membimbangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Semalam, anak Rafizi diheret dan dicucuk dengan jarum suntikan ketika sedang menuju ke kereta di hadapan sebuah pusat beli belah di Putrajaya.
Namun mangsa berusia 12 tahun itu tidak mendapat sebarang kecederaan dan sudah diperiksa di hospital.
Mengulas lanjut, Anwar memberi jaminan kes itu akan disiasat dengan telus sekali gus bagi menghentikan budaya tersebut.
“Saya beri jaminan bahawa apa yang disebut oleh Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara bahawa mereka akan bertindak segera, pantas dan dengan cara yang telus.
“Bukan sahaja untuk mengambil tindakan, tetapi menghentikan budaya yang jahat ini,” katanya.
Saifuddin dalam satu kenyataan semalam memaklumkan pihaknya memandang serius kejadian itu dan siasatan dijalankan secara menyeluruh bagi mengenal pasti serta mengheret pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan.
*FOTO : PEJABAT PERDANA MENTERI MALAYSIA