KENYATAAN MEDIA
Jabatan Peguam Negara mengambil maklum mengenai laporan media berkenaan satu tindakan Mahkamah telah difailkan oleh Waytha Moorthy terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim (Datuk Seri Anwar), Perdana Menteri bagi mencabar kelayakan Datuk Seri Anwar sebagai Ahli Parlimen bagi kawasan Tambun dan pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri.
Asas kepada tindakan tersebut adalah pengampunan yang telah diberikan oleh Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) ke-15 tidak mengandungi sebarang pembatalan terhadap kehilangan kelayakan Datuk Seri Anwar di bawah Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan.
Jabatan ini menghormati hak mana-mana individu untuk memfailkan tindakan di mahkamah. Dalam hal ini, Mahkamah Rayuan dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim v Mohd Khairul Azam Abdul Aziz [2023] 2 MLJ 545 telah memutuskan bahawa YDPA mempunyai kuasa untuk mengampunkan terhadap sabitan dan hukuman.
Perintah Pengampunan yang dititahkan oleh YDPA Ke-15 menyatakan bahawa Datuk Seri Anwar telah diberikan pengampunan sepenuhnya dan dianggap sebagai seorang yang tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan. Oleh yang demikian, tidak timbul sebarang isu kehilangan kelayakan Datuk Seri Anwar sebagai Ahli Dewan Rakyat dan Perdana Menteri.
Sebarang cabaran terhadap pemilihan seseorang ahli parlimen seharusnya melalui petisyen pilihan raya sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan dan hendaklah difailkan dalam tempoh sebagaimana yang ditetapkan di bawah Seksyen 38 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
JABATAN PEGUAM NEGARA