14 OGOS : Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution akan memberi kenyataan berkait kes kematian pelajar, Zara Qairina Mahathir di Dewan Rakyat, Isnin ini.
Menurutnya, kenyataan itu bagi menjelaskan perkembangan siasatan kes tersebut.
“Apabila pasukan khas Bukit Aman Mengambil alih tugas siasatan daripada pasukan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar dan balai yang berkenaan telah dikesan terdapat elemen menunjukkan ketidakcekapan pegawai penyiasat.
“Keputusan untuk tidak meneruskan bedah siasat, menimbulkan tanggapan seolah-olah pihak polis cuba menutup sesuatu.
“Saya memilih Isnin ini untuk membuat kenyataan menteri dalam Parlimen mengenai isu ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah (JKPWAS-INDUK) dan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan Negeri Sabah di Menara Kinabalu, hari ini.
Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk M Kumar berkata polis akan memohon proses inkues kepada koroner untuk menentukan punca sebenar kematian Zara Qairina, seawal minggu depan.
Katanya, keputusan bedah siasat pada 10 Ogos lalu itu konsisten dengan diagnosis awal yang mendapati kecederaan akibat kekurangan oksigen dan aliran darah ke otak.
Kumar berkata hasil siasatan pasukan petugas khas juga mendapati pegawai penyiasat kes itu tidak patuh kepada prosedur siasatan apabila tidak membuat permohonan untuk prosedur bedah siasat (post-mortem).
Pada 16 Julai lalu, Allahyarham Zara Qairina ditemui parah dan tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya selepas dikatakan terjatuh dari tingkat tiga.
Allahyarham kemudiannya disahkan meninggal dunia jam 11 pagi di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu, keesokan harinya.
Kematiannya itu dikaitkan dengan perlakuan buli namun keluarga mangsa mendakwa siasatan awal yang dijalankan tidak lengkap.