KENYATAAN MEDIA
Jabatan Peguam Negara memandang serius sebarang perbuatan memaparkan, mengibarkan atau memasang bendera Malaysia secara tidak teratur atau tidak mengikut tatacara yang sepatutnya.
Antara kejadian yang dimaksudkan adalah seperti berikut:
1. Pemasangan bendera Malaysia secara terbalik di sebuah kedai di Kepala Batas, Pulau Pinang:
2. Pemasangan bendera Malaysia secara terbalik di sebuah sekolah di Port Dickson, Negeri Sembilan;
3. Pemaparan bendera Malaysia yang tidak lengkap dalam buku laporan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia 2024; dan
4. Pemaparan bendera yang tidak lengkap dalam akaun media sosial rasmi milik akhbar Sin Chew Dally, Kwong Wah Yit Poh dan Harian Metro.
Jabatan ini ingin menegaskan bahawa semua pihak bertanggungjawab untuk menghormati bendera Malaysia sebagai simbol kedaulatan negara, serta mematuhi undang-undang dan garis panduan yang berkuat kuasa berkaitan penggunaannya.
Sebarang kesalahan berkaitan pemasangan atau pemaparan bendera Malaysia secara tidak wajar yang boleh menimbulkan kekeliruan, salah faham atau kegusaran awam boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Dalam pada itu, Jabatan ini juga ingin mengingatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan sendiri terhadap sesiapa jua yang disyaki terlibat dalam perbuatan tersebut. Ini termasuklah:
1. Menyerbu premis pihak yang disyaki;
2. Menularkan maklumat peribadi atau membuat tuduhan melulu di media sosial; 3. Mencetuskan provokasi atau ugutan terhadap individu atau organisasi terlibat; dan
4. Mengambil alih peranan pihak berkuasa seperti mengarah penurunan bendera atau menyita bahan terlibat tanpa kuasa undang-undang.
Sebaliknya, segala aduan atau maklumat berkaitan hendaklah disalurkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan sewajarnya, selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang.
JABATAN PEGUAM NEGARA