16 OGOS : Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini menitahkan Kementerian Pertahanan membatalkan cadangan pembelian helikopter Black Hawk lama yang berusia lebih 30 tahun.
Baginda sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam titahnya mengingatkan kementerian itu agar tidak mengulangi kesilapan dahulu.
“Jangan ulang kesilapan dahulu apabila kita beli pesawat SkyHawk secara second-hand. Adakah kita hendak letak juruterbang kita dalam ‘keranda terbang’? Awak fikirlah sendiri.
“Saya percaya ini semua berlaku kerana di Kementerian Pertahanan penuh dengan ‘ejen’ atau bekas Jeneral yang menjadi ‘salesman’ malah ada syarikat penjual kain pun masuk hendak jual dron.
“Kalau semua pembelian kena ikut harga orang tengah maka peruntukan yang ada tidak akan cukup. Oleh itu, jangan cuba nak temberang saya. Jika tidak mahu dengar cakap saya, selepas ini saya tidak akan menegur lagi,” titah baginda yang disiar di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, hari ini.
Sultan Ibrahim bertitah demikian pada Titah Diraja sempena Perbarisan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas Ke-60 di Kem Iskandar, Mersing, hari ini.
Dalam titah sama, baginda menitahkan kerajaan agar memberi keutamaan kepada peningkatan tahap kesiapsiagaan Rejimen Gerak Khas dengan memastikan setiap perolehan aset tentera dibuat secara teliti iaitu berlandaskan harga pasaran dan keperluan sebenar pengguna, bukannya mengikut cadangan ejen semata-mata.
Baginda bertitah pembelian aset yang tidak relevan atau terlalu mahal bukan sahaja merugikan, malah membazirkan peruntukan negara.
“Jangan buang masa beli barang yang merepek dan tidak sesuai dengan keperluan tentera. Kalau tidak tahu harga, tanya saya dahulu,” titah Seri Paduka Baginda yang juga Kolonel Komandan Gerup Gerak Khas (GGK).

Baginda turut mengimbas kembali teguran dibuat lima tahun lalu berhubung pembelian bot Rigid Riding Craft (RRC) untuk komando pada harga RM5 juta, sedangkan bot yang lebih baik boleh diperoleh bawah RM2 juta.
“Baru-baru ini pula, saya dapat tahu ada cadangan untuk beli lagi bot sama tetapi saiz yang besar sedikit dengan harga hampir RM10 juta. Ini tidak masuk akal dan harus diteliti secara betul.
“Selain daripada harga, kualiti barang yang dibeli juga perlu diutamakan. Apa telah jadi dengan kolam selam tempur di kem ini yang sepatutnya siap pada 2022 tetapi sehingga kini masih belum boleh digunakan,” titah baginda.
*Foto : Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar