16 OGOS : Orang awam diingatkan agar tidak bertindak di luar batas undang-undang berkait isu Jalur Gemilang.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata sebarang aduan atau bukti perlu diserahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.
“Kenyataan AG (Peguam Negara) itu menjadi peringatan kepada kita semua untuk tidak mengambil sikap vigilante iaitu membuat tindakan di luar batas undang-undang terhadap mana-mana pihak.
“Serahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan, serahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk melakukan pendakwaan dan serahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan dalam sesuatu perkara.
“Jangan kita bertindak menjadi polis, peguam dan hakim…itu salah. Jangan ambil tindakan seperti itu,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata demikian selepas Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya 2025, hari ini.
Terdahulu, Jabatan Peguam Negara dalam satu kenyataan mengingatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan sendiri terhadap sesiapa jua yang disyaki terlibat dalam perbuatan tersebut.
Ini termasuklah menyerbu premis pihak yang disyaki; menularkan maklumat peribadi atau membuat tuduhan melulu di media sosial; mencetuskan provokasi atau ugutan terhadap individu atau organisasi terlibat; dan mengambil alih peranan pihak berkuasa seperti mengarah penurunan bendera atau menyita bahan terlibat tanpa kuasa undang-undang.
Jabatan itu turut menegaskan sebarang kesalahan berkaitan pemasangan atau pemaparan bendera Malaysia secara tidak wajar yang boleh menimbulkan kekeliruan, salah faham atau kegusaran awam boleh dikenakan tindakan undang-undang.