16 OGOS : Kerajaan mengambil maklum kebimbangan orang awam terhadap peristiwa melibatkan warga asing yang tercetus, baru-baru ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan keselamatan rakyat Malaysia dan kedaulatan negara adalah keutamaan yang tiada kompromi.
Tegasnya lagi, setiap insiden akan ditangani dengan sewajarnya melalui undang-undang sedia ada.
Jelasnya, status visa warga asing tidak sesekali memberi imuniti kepada mereka daripada undang-undang termasuk visa pelajar, pelabur, pemegang pas lawatan jangka panjang atau peserta program Malaysia My Second Home (MM2H).
“Mana-mana individu yang didapati melanggar syarat pas, menimbulkan ancaman keselamatan atau mengganggu ketenteraman awam akan dikenakan tindakan tegas.
“Langkah yang diambil termasuklah pembatalan pas, penyenaraian hitam, serta penghantaran pulang ke negara asal. Prinsip ini dilaksanakan secara konsisten tanpa mengira latar belakang atau kedudukan individu berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, Kerajaan MADANI tidak berkompromi terhadap mana-mana warga asing yang melanggar undang-undang negara.
Katanya, Malaysia sentiasa terbuka kepada pelaburan, pendidikan dan kerjasama antarabangsa, namun keterbukaan ini tidak sesekali mengorbankan keselamatan rakyat dan kedaulatan negara.
“Saya menyeru rakyat Malaysia agar kekal tenang dan yakin bahawa pihak berkuasa sedang dan akan terus melaksanakan tanggungjawab mereka secara berkesan.
“Setiap ancaman akan ditangani dengan sewajarnya, demi memastikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang selamat, berdaulat dan sejahtera untuk semua,” katanya.
Tambahnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sentiasa melaksanakan tugas penguatkuasaan dengan profesional, tanpa sebarang diskriminasi atau pengecualian terhadap mana-mana bangsa atau negara asal.
Saifuddin berkata, setiap laporan yang diterima disiasat mengikut lunas undang-undang dan tindakan sewajarnya akan diambil bagi memastikan keselamatan awam terjamin.