16 OGOS : Malaysia mengecam agenda ‘Greater Israel’ dan peluasan penempatan haram Israel di wilayah Palestin.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan menegaskan perancangan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu itu satu pelanggaran nyata terhadap Konvensyen Geneva Keempat.
“Malaysia mengecam sekeras-kerasnya kenyataan terbaharu oleh Netanyahu yang mempropagandakan visi peluasan wilayah haram yang dikenali sebagai ‘Greater Israel’ serta kelulusan pembinaan ribuan unit penempatan haram di kawasan E1 antara Baitulmaqdis dan Ma’ale Adumim di Wilayah Palestin yang Diduduki (OPT).
“Tindakan yang dirancang ini merupakan pelanggaran nyata terhadap Konvensyen Geneva Keempat dan bertujuan untuk mengukuhkan pendudukan haram Israel ke atas OPT,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Terdahulu, media melaporkan, Netanyahu mempromosikan visi peluasan haram dan tidak sah ‘Greater Israel’ di samping meluluskan pembinaan ribuan unit penempatan di kawasan E1 antara Baitulmaqdis dan Ma’ale Adumim di OPT.
Tegas Kementerian Luar atau dikenali sebagai Wisma Putra, Projek E1 itu bercanggah dengan undang-undang antarabangsa dan resolusi-resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berkaitan.
“Tujuan utamanya adalah untuk memecah belahkan Tebing Barat, menghapuskan kedaulatan Palestin dan sekaligus menghancurkan penyelesaian dua negara,” kata Wisma Putra lagi.
Dalam pada itu, Malaysia turut mengecam dengan sekeras-kerasnya pembunuhan sengaja wartawan dan petugas media di Semenanjung Gaza yang merupakan pelanggaran berat terhadap undang-undang antarabangsa dan pencabulan terang-terangan terhadap Resolusi 2222 Majlis Keselamatan PBB mengenai perlindungan wartawan di kawasan konflik.
“Serangan yang disasarkan itu adalah sebahagian daripada kempen sistematik rejim Zionis Israel untuk membungkam laporan bebas, menyekat aliran maklumat berkaitan keganasan pelampau penempatan haram serta menyembunyikan jenayah perang dan tindakan pembunuhan beramai-ramai yang sedang berlangsung di OPT.
“Malaysia kekal teguh dalam komitmennya terhadap perjuangan rakyat Palestin dan akan terus berusaha ke arah penubuhan Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara,” kata kementerian itu lagi.
Malaysia turut mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan masyarakat antarabangsa bertindak segera bagi menghentikan segala usaha haram rejim Zionis Israel dan memastikan hak-hak asasi, keselamatan serta kebebasan rakyat Palestin terpelihara.