16 OGOS : Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sudah memuktamadkan agihan kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjamin tiada pertindihan akan berlaku antara BN dengan PH.
Namun beliau yang juga Presiden UMNO Menegaskan tiada perundingan secara langsung antara BN dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkait soal agihan kerusi bagi PRN berkenaan.
“Yang telah dimuktamadkan ialah BN dengan PH dan kita menghormati PH-GRS. Tidak ada perundingan secara langsung antara BN dengan GRS, tidak ada. Jadi, setakat itu sahaja.
“Perundingan-perundingan yang lainnya…dielakkan pertandingan tiga penjuru atau pun pertindihan kerusi…dilakukan di belakang tabir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir pada perasmian Istiadat Pentauliahan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) Peringkat Kebangsaan Kali Ke-16 Tahun 2025 di Universiti Teknologi MARA (UiTM), hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri turut tidak menolak kemungkinan berlaku pertandingan tiga penjuru dalam banyak kerusi pada PRN Sabah kelak susulan banyak parti baharu di negeri itu.
“Jadi ‘the more the merrier’ (lebih ramai lebih meriah). Itu terpulang kerana itu landskap politik di Sabah.
“BN-PH tidak ada pertindihan kerusi dan itu kita telah muktamad,” katanya.
*FOTO: FACEBOOK ZAHID HAMIDI