2 MP PN digantung dari sidang Parlimen

18 OGOS : Dua Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) digantung dari sidang Parlimen, hari ini.
Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim diarah keluar dewan selama 10 hari selepas mencetuskan kekecohan semasa persidangan dan dakwaan mencabar ahli Parlimen lain bergaduh pada Rabu lalu.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul membuat perintah itu berdasarkan Peraturan 44.2 dalam Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat selepas meneliti bukti rakaman video dan audio.
“Kenapa saya ambil tindakan kepada Pendang hari ini kerana pertama, pada hari itu saya mempengerusikan sidang dan saya nampak apa yang berlaku. Yang kedua apa yang saya amat kecil hati di galeri itu (Galeri Awam Dewan Rakyat) penuh dengan budak sekolah.
“Kita sedang bercakap bagaimana kelakuan anak-anak kecil kita di sekolah, tidak bersopan santun tetapi kita sendiri depan budak-budak kita tunjuk macam-macam, ia nampak tidak baik. Saya yakin Pendang juga ada cucu, bayangkan cucu tengok Tok Wan dia buat begitu,” katanya pada sidang Parlimen, hari ini.
Dalam pada itu, Johari berkata tindakan Awang ketika sesi perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) itu menghina Dewan Rakyat.
Sementara itu, Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary digantung selama dua hari selepas bercakap tanpa kebenaran ketika sesi penggulungan RMK13.
Ahmad Marzuk tidak berpuas hati dengan penjelasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkait pelantikan syarikat bukan Islam untuk menjalankan penjenamaan semula Lembaga Tabung Haji (TH).
Mohd Na’im mendedahkan sebanyak 23 syarikat bukan Islam pernah dilantik sewaktu Ahmad Marzuk menjadi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Ahmad Marzuk tetap bersuara meski diarah duduk oleh Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yeng.