Hati-hati guna teknologi canggih, jangan terlalu bergantung

18 OGOS : Penggunaan teknologi canggih amat penting dalam meningkatkan produktiviti dan kecekapan pentadbiran.
Namun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan kita agar lebih berhati-hati dan tidak terlalu bergantung kepada teknologi.
“…dalam era transformasi digital yang pesat, penggunaan teknologi canggih seperti kecerdasan buatan (AI) amat penting dalam meningkatkan produktiviti dan kecekapan pentadbiran.
“Saya menekankan bahawa adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memanfaatkan kemajuan ini demi mempertingkat hasil kerja serta memenuhi amanah yang diberikan dengan lebih cekap dan berkesan.
“Namun, kita juga harus berhati-hati agar tidak terlalu terpukau atau terlalu bergantung kepada kecanggihan teknologi semata-mata,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata teknologi yang ada di dunia ini membantu kita namun ia tetap tidak sempurna.
“Ia boleh menghasilkan maklumat yang tidak tepat dan jika tidak dikawal dengan bijak, boleh menjejaskan pengurusan serta kualiti penyampaian perkhidmatan awam.
“Dengan pendekatan ini, kita bukan sahaja dapat memanfaatkan kecanggihan digital, tetapi juga memastikan pentadbiran kekal berintegriti, berkesan dan berorientasikan rakyat,” katanya.