Kematian mangsa buli bukan senjata politik

18 OGOS : Kematian mangsa buli tidak sepatutnya dijadikan senjata politik untuk ‘menikam’ orang lain.
Peringatan itu disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
Tegasnya, kematian mangsa itu digunakan untuk penipuan dan hasutan juga perbuatan yang tidak boleh diterima.
“Soal media sosial ini, kita kawal (tapi) ada batasnya. Umpamanya yang terbaharu, seseorang yang kata dia itu doktor patologi bagi gambaran (keadaan Zara Qairina Mahathir ketika dibedah siasat) dan ini meracuni pemikiran jutaan orang sehingga ada rakan, isteri, sahabat bertanya PM…apa ini?
“Orang itu (Zara) dah terkorban, kemudian kita jadikan ini sebagai satu senjata politik untuk menikam orang lain. Kalau benar tak apa, mana boleh kita mainkan seolah kematian orang itu (untuk) menipu dan menghasut sebegitu rupa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), hari ini.
Pada 16 Julai lalu, Zara ditemui parah dan tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya selepas dikatakan terjatuh dari tingkat tiga.
Allahyarham kemudiannya disahkan meninggal dunia jam 11 pagi di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu, keesokan harinya.
Terdahulu tular kenyataan seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai doktor bedah yang terlibat dalam proses bedah siasat terhadap ke atas jenazah pelajar Tingkatan Satu itu.
Melalui siaran langsung di TikTok, lelaki itu memberi gambaran berbaur konklusi seolah-olah mangsa terjun sendiri dari bangunan sekolah.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan tidak menolak berlakunya kelemahan dalam pengendalian kes berkenaan namun tegasnya, pihak berkuasa sedang menanganinya sebaik mungkin.
“Saya, TPM (Timbalan Perdana Menteri) Datuk Seri Fadillahm Yusof (dan) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dah keluarkan kenyataan. Kita sudah adakan mesyuarat peringkat tertinggi untuk pastikan siasatan telus,” katanya.
Selain itu, Anwar turut menekankan budaya buli perlu dihentikan sepenuhnya kerana ia penderaan berbentuk psikologi dan fizikal
“Kemelut dalam negara terutama beberapa kes kematian anak-anak kita, anak kita Zara (Qairina) di Sabah, Faris (Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman) di Kelantan dan beberapa kes lain yang disebut kes buli.
“Buli ini penderaan psikologi dan fizikal sama ada di sekolah, universiti, pejabat, Kementerian Kesihatan (KKM). Ini mesti dihentikan kerana ia kebejatan penghinaan sama ada atas peribadi seseorang, warna kulitnya dan pelbagai,” katanya.

Semalam, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengenal pasti identiti ‘pakar bedah’ tersebut.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata semakan KKM mengesahkan individu itu bukan seorang doktor pakar mahupun petugas KKM.