PRN Sabah: Anwar jumpa Hajiji, Zahid

18 OGOS : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menyifatkan pertemuan itu berlangsung dalam suasana harmoni.
Meski tidak menyebut secara jelas tujuan pertemuan itu namun ia dipercayai berkait dengan kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
“Mengadakan pertemuan penuh makna antara Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi GRS, Datuk Hajiji Noor yang berlangsung dalam suasana harmoni dan penuh semangat kebersamaan.
“Pertemuan ini mencerminkan kematangan politik serta iltizam untuk memperkukuh kerjasama demi kestabilan negara, khususnya dalam konteks hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri Sabah,” katanya.
Beliau berkongsi perkara itu dalam satu hantaran di Facebook rasminya, malam ini.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Presiden PKR berkata beliau percaya bahawa kestabilan politik adalah asas penting dalam menjayakan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
“Justeru, kerjasama erat antara pemimpin negeri dan persekutuan amat penting dalam memastikan aspirasi rakyat dapat direalisasikan secara menyeluruh dan inklusif.
“Saya berharap semangat muafakat ini akan terus menjadi asas kepada perpaduan nasional yang lebih kukuh, demi masa depan Malaysia yang progresif, adil dan sejahtera untuk semua,” katanya.
Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri mengumumkan agihan kerusi bagi PRN Sabah sudah selesai dirunding dengan PH tanpa melibatkan GRS.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan pertindihan kerusi bagi banyak kawasan susulan banyak parti baharu yang muncul di negeri berkenaan.

*OLEH : HANUM RAJAK