19 OGOS : Kerajaan tidak akan berkompromi dalam isu keselamatan negara. Perkara itu ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT), hari ini.
Beliau berkata Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaafar sudah diminta untuk menyiasat kes terbabit secara serius.
Malah, beliau turut memberi jaminan akan membongkar sepenuhnya kes penyeludupan tersebut.
“Menteri Pertahanan (Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin) juga ambil berat perkara ini. Semalam menghadap Yang di-Pertuan Agong (Sultan Ibrahim) dibangkitkan lagi perkara ini dan kita akan bongkar sepenuhnya kerana ini saya setuju. Ini soal keselamatan negara, tidak boleh berkompromi,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang mahu tahu sama ada kerajaan ada menaiktaraf indeks ancaman dengan memfokuskan kepada ancaman dari dalam berdasarkan empat insiden termasuk isu penyeludupan di selatan tanah air.
Terdahulu, lima pegawai perisik tentera Organisasi Perisikan Pertahanan Malaysia (MDIO) ditahan dalam Ops Sohor Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai terlibat dalam sindiket penyeludupan yang didalangi pegawai kanan ATM.
Dalam pada itu, Anwar berkata pihaknya mengalu-alukan jika adanya maklumat untuk dikemukakan selain menegaskan isu itu bukan soal parti, kerajaan atau pembangkang sebaliknya ia adalah soal keselamatan negara.
“Kalau rasanya esok bila menteri pertahanan dapat maklumat, beliau kemukakan laporan awal, silakan.
“Ini soal keselamatan negara, bukan soal parti, kerajaan, bukan pembangkang. Kalau ada penyeludupan masuk dalam badan risikan itu suatu perkara besar,” katanya.