20 OGOS : Lima remaja mengaku tidak bersalah di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu hari ini atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
Pengakuan dibuat dihadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Elsie Primus selepas pertuduhan dibacakan.
Kelima-lima tertuduh didakwa mencapai niat bersama menggunakan perkataan mencela terhadap Zara di mana perkataan tersebut didengari yang mungkin menyebabkan Zara berasa terganggu dengan perkataan itu.
Kesalahan didakwa dilakukan pada 15 Julai lalu di antara jam lebih kurang 10 malam sehingga 11 malam.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Hakim kemudiannya menetapkan tarikh 8 hingga 12 Disember dan 15 hingga 19 Disember untuk perbicaraan, manakala sebutan pengurusan kes pra-bicara ditetapkan pada 25 September dan 16 Oktober depan.
Setiap tertuduh dibenarkan ikat jamin RM5,000 dengan RM1,000 perlu didepositkan bersama penjamin tempatan.
Pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad, Nik Haslinie Hashim dan Deepa Nair Thevaharan
Kelmarin, Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan suspek-suspek yang akan didakwa melibatkan buli dan bukannya berkait kematian Zara.
Selain itu, AGC berkata proses inkues masih perlu dijalankan bagi menentukan punca sebenar kematian pelajar Tingkatan Satu itu.
Mahkamah Koroner Kota Kinabalu menetapkan 3 September depan sebagai tarikh bermulanya prosiding inkues.
Pada 16 Julai lalu, Zara ditemui parah dan tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya selepas dikatakan terjatuh dari tingkat tiga.
Allahyarham kemudiannya disahkan meninggal dunia jam 11 pagi di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu, keesokan harinya.
*FOTO : FACEBOOK INFO X