Malaysia pertimbang wujudkan Kementerian Undang-Undang

21 OGOS : Malaysia menimbang keperluan untuk mewujudkan Kementerian Undang-Undang khusus untuk memastikan ekosistem perundangan negara lebih tersusun.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan perkara itu ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Undang-Undang ASEAN 2025, hari ini.
Katanya, melalui ekosistem yang lebih baik itu, Malaysia dapat berinteraksi dengan rakan negara serantau lebih efektif.
“Dengan menyelaraskan diri kepada amalan terbaik jiran kita, Malaysia akan berada pada kedudukan lebih kukuh untuk membentuk sebuah tertib serantau yang lebih adil dan responsif,” katanya.
Dalam ucapan sama, Anwar berkata undang-undang perlu memberi manfaat kepada setiap individu, setiap komuniti dan setiap generasi.
“Tidak memadai keadilan hanya wujud dalam prinsip. Ia mesti dapat dirasai dalam kehidupan masyarakat kita.
“Undang-undang harus memperkasa dan melindungi, bukan menakut-nakutkan atau mengecualikan,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan kekuatan sebenar sesebuah kerajaan tidak terletak pada kuasa yang dimiliki namun integriti institusi, keadilan dalam tadbir urus dan keyakinan yang diperoleh daripada rakyat.
Anwar turut menggesa negara serantau untuk memperkukuh bantuan perundangan bersama, menambah baik mekanisme penyelesaian pertikaian dan mendepani cabaran baharu termasuk tadbir urus digital serta pengawalseliaan kecerdasan buatan (AI).
