21 OGOS : Sebuah pesawat pejuang F/A-18D Hornet milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) disahkan terbabit dalam kemalangan pada jam 9.05 malam ini.
Kemalangan itu berlaku di landasan Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah di Kuantan, Pahang.
Perkara itu disahkan TUDM melalui satu kenyataan media yang dikeluarkan Bahagian Perhubungan Awam pada jam 10 malam ini.
“TUDM ingin memaklumkan satu insiden kemalangan melibatkan sebuah pesawat F/A-18D Hornet telah berlaku pada 21 Ogos 2025 jam 9.05 malam di kawasan landasan Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah.
“Pihak TUDM kini sedang mengambil tindakan segera dan akan memaklumkan perkembangan semasa berhubung insiden kemalangan tersebut,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, TUDM meminta semua pihak agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi atau berita yang tidak sahih.
Setakat ini belum ada sebarang pengesahan terhadap keadaan juruterbang pesawat terbabit.
Tular di media sosial rakaman sebuah pesawat yang sedang berlepas di landasan dilihat mengeluarkan percikan api sebelum berlepas sepenuhnya meninggalkan landasan.
