22 OGOS : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuat laporan polis berkait bungkusan mencurigakan.
Menurut suruhanjaya itu, bungkusan itu dihantar melalui sebuah syarikat kurier yang menggunakan nama Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din sebagai penerima.
“Hasil semakan awal dengan pihak kurier mendapati penghantar tersebut berdaftar menggunakan nama samaran dan nombor telefon tertentu sejak Jun 2025.
“Syarikat kurier berkenaan turut merekodkan sebanyak 55 aduan terhadap penghantar ini termasuk 18 kes penghantaran barang yang tidak dipesan oleh penerima dan 37 kes penghantaran tidak lengkap atau tidak selesai,” kata MCMC dalam satu kenyataan pada Khamis.
Kata MCMC, Bungkusan berkenaan sudah diminta untuk ditahan oleh pihak kurier bagi siasatan lanjut polis.
Dalam pada itu, MCMC menegaskan pihaknya memandang serius sebarang bentuk penghantaran mencurigakan yang boleh menimbulkan ancaman.
Kenyataan itu memaklumkan MCMC akan terus memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan awam serta integriti institusi terpelihara.
Selain itu, MCMC mengingatkan orang ramai agar berwaspada sekiranya menerima bungkusan daripada sumber yang tidak dikenali atau tidak dipesan.
“Sekiranya timbul keraguan, orang ramai dinasihatkan untuk segera menghubungi pihak berkuasa atau syarikat kurier bagi pengesahan lanjut,” kata MCMC.