22 OGOS : Lembaga Tabung Haji (TH) membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) susulan penyebaran beberapa video berunsur fitnah serta hasutan di media sosial.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata pihaknya memandang serius perkara itu yang boleh mencemar imej TH.
Kata Mustakim, pihaknya memantau rapat terhadap mana-mana penyebaran yang cuba menghasut masyarakat dengan maklumat tidak benar.
Tegasnya, mana-mana hantaran video dengan provokasi dan tuduhan melulu kepada TH terutama berkaitan inisiatif penjenamaan serta tadbir urus TH yang tidak tepat boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat umum.
“TH sedang melaksanakan inisiatif penjenamaan untuk memperkasakan TH sebagai institusi simpanan Islam pilihan dimana umat Islam kekal menabung secara sistematik dan konsisten.
“Bagi mencapai matlamat ini, TH memerlukan kepakaran teknikal yang bersesuaian dan amalan ini adalah sama seperti contoh-contoh daripada sejarah Islam.
“Pengurusan TH dan urusan ibadat haji tetap dikendalikan oleh pasukan pengurusan yang 100 peratus bumiputera Muslim tetapi pelbagai sokongan teknikal diperlukan bagi inisiatif penjenamaan yang kompleks ini dan dibekalkan oleh konsortium yang dibentuk TH,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Mustakim berkata pihaknya akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam menyalurkan maklumat bagi melengkapkan siasatan.
Selain itu, pihaknya juga akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana individu dan pemilik akaun media sosial yang membuat hantaran berunsur hasutan mengikut lunas undang-undang.
TH turut menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya pada sebarang maklumat yang belum dipastikan kesahihannya.