Kuasai teknologi, AI untuk angkat martabat negara

23 OGOS : Bidang teknologi dan kecerdasan buatan (AI) perlu dikuasai dalam usaha menuju ke arah negara maju.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bidang-bidang itu memerlukan pelaburan besar dan berisiko.
“Kalau Malaysia mahu diangkat martabatnya sebagai negara maju pada masa depan, kita mesti menguasai disipilin dan ilmu baharu.
“Tiada pilihan dan penguasaan teknologi baharu seperti AI, umpamanya pertama bukan mudah dan ada risiko.
“Kerana kalau kita tiru atau ambil sahaja, apa yang dilontar oleh orang asing seperti Amerika, Eropah dan China, kita tidak akan pertahankan akidah akhlak, nilai dan budaya .
“Jadi, sementara kita ambil, kita harus latih anak-anak supaya faham apa itu digital, AI,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program MADANI Rakyat 2024 Zon Selatan, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata transformasi digital dan AI merupakan peluang besar untuk memperkasa rakyat namun ia perlu disertai dengan langkah bijak agar tidak melebarkan jurang antara bandar dan luar bandar.
Namun beliau sempat mengingatkan agar dengan menguasai teknologi itu tidak akan mengorbankan jati diri, nilai, akhlak, keyakinan agama dan budaya negara .
“Kita tak mahu akibat terlalu meniru atau terikut model luar, kita hilang nilai sendiri. Langkah-langkah perlu diambil untuk pastikan ini tidak berlaku,” katanya.
