25 OGOS : Ruang udara kawasan Kawalan Terminal Kuala Lumpur ditutup bermula 26 hingga 29 Ogos dan pada 31 Ogos ini.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan penutupan sementara itu bagi memberi laluan kepada persediaan raptai dan pelaksanaan lintas hormat sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Putrajaya.
“Lintas hormat ini akan melibatkan sebanyak 33 pesawat daripada agensi penguatkuasaan Malaysia termasuk helikopter dan pesawat fixed-wing.
“Penutupan ini adalah penting bagi memastikan keselamatan orang awam serta pesawat yang mengambil bahagian dalam lintas hormat tersebut.
“Sepanjang tempoh ini, akan berlaku peningkatan aktiviti penerbangan serta pelarasan terhadap operasi penerbangan komersial,” kata CAAM dalam satu kenyataan, hari ini.
Penutupan ruang udara bagi 26 hingga 28 Ogos ini berlaku pada jam 11 pagi hingga 12 tengah hari dan 29 Ogos pada jam 8.45 pagi hingga 9.45 pagi untuk raptai serta waktu sama pada 31 Ogos bagi sambutan Hari Kebangsaan.
“CAAM ingin mengingatkan orang ramai bahawa semua pengendalian aktiviti dron dan sistem pesawat tanpa pemandu (UAS) di kawasan yang terlibat sepanjang raptai dan sambutan Hari Kebangsaan adalah dilarang sama sekali.
“Pengendalian dron tanpa kelulusan boleh mendatangkan risiko keselamatan kepada operasi pesawat terbang rendah dan pelanggaran terhadap larangan ini boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan di bawah Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016,” kata CAAM lagi.
Justeru itu, CAAM menyeru kerjasama semua pihak berkepentingan serta orang ramai untuk mematuhi larangan ini bagi memastikan kelancaran dan keselamatan penganjuran sambutan Hari Kebangsaan 2025.
*Foto : Tentera Udara Diraja Malaysia