Transformasi digital: GLIC disaran tingkat pelaburan

26 OGOS : Syarikat-pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) disaran untuk meningkatkan pelaburan dalam usaha memastikan tiada yang terpinggir dalam transformasi digital.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia dapat membantu negara mengurangkan jurang digital dalam kalangan rakyat.
“Apa erti kita bicarakan soal ketersambungan, 4G dan 5G, kecerdasan buatan (AI) kemudian langsung tidak ada kaitan dengan majoriti rakyat kita yang terpinggir.
“AI dan transformasi digital harus juga menyelesaikan sebahagian daripada masalah yang disebut jurang digital antara kelompok yang bernasib baik di bandar dengan kelompok miskin bandar, desa dan pedalaman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan program CelcomDigi CD:NXT, CelcomDigi Hub, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan segala perubahan melibatkan teknologi baharu, transformasi digital, peralihan tenaga serta
Grid Kuasa ASEAN (APG) adalah titik-titik perkembangan penting untuk menaikkan siling pertumbuhan ekonomi negara.
Namun katanya, manfaat daripada perubahan itu mesti dirasai dan dinikmati seluruh masyarakat, khususnya golongan belia yang merupakan pewaris masa depan negara.
“Sehubungan itu, penyediaan silibus yang komprehensif dan menyeluruh amat penting, agar belia dilengkapi bukan sahaja dengan pengetahuan teknologi moden, tetapi juga tetap berpaksikan kepada akar budaya dan jati diri bangsa,” katanya.
