28 OGOS : Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) mencadangkan agar Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) ditangguhkan susulan bantahan yang dibangkitkan pelbagai pihak.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata RUU yang sudah dibaca di Dewan Rakyat itu perlu diteliti semula dari segi kelompangannya selain membuka ruang perbincangan yang lebih menyeluruh.
“Saya berpandangan RUU Pembaharuan Semula Bandar ini yang telah pun dibaca untuk kali pertama dicadangkan untuk (diteliti kembali) kelompangan.
“Saya telah mengadakan mesyuarat dengan semua Ahli Parlimen BN, semua menyatakan kebimbangan serta mahu supaya RUU itu ditangguhkan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan di Dewan Orang Ramai Rantau, hari ini.
Mohamad yang juga Menter Luar Negeri berkata perbincangan lanjut amat penting bagi memastikan tiada pihak yang menjadi mangsa selepas RUU itu diluluskan.
Antara kebimbangan disuarakan wakil rakyat BN adalah RUU itu kelak bakal memberi kuasa membangunkan sesuatu kawasan tanpa kebenaran pemilik.
“Kami amat risau dengan ambang yang dinyatakan, sepatutnya kita mesti mendapatkan 100 peratus persetujuan daripada semua pemilik premis tapi ini kita nak turunkan kepada 80 peratus saja. Apa jadi dengan hak 20 peratus ini…ini perlu kita lihat.
“Misalnya nak bangunkan di Rantau ini, mereka boleh bangunkan kawasan tanpa mendapat restu daripada pemilik dan syarikat boleh bertindak membangunkan mana-mana kawasan yang dia suka.
“Jadi, ini kerisauan dan saya membawa suara daripada semua Ahli-Ahli Parlimen BN supaya menangguhkan RUU ini.
“Pastikan supaya semua pihak yang terbabit dibawa berunding dulu,” katanya.