28 OGOS : Malaysia dan Brunei sepakat untuk terus memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang strategik.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata kesepakatan itu dicapai dalam sempena Rundingan Tahunan Malaysia–Brunei kali ke-26 pada Rabu.
“Ini merangkumi perdagangan, pelaburan, tenaga, maritim, pendidikan, pertanian serta keselamatan makanan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Beliau menzahirkan rasa penghormatan apabila menjadi Menteri Pengiring kepada Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah sepanjang Lawatan Negara baginda ke Malaysia yang berakhir, semalam.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan Malaysia menyambut baik langkah penambahan penerbangan Royal Brunei Airlines ke Sabah di samping pembukaan Sarawak Trade and Tourism Office (STATO) di Bandar Seri Begawan.
Katanya, inisiatif itu diyakini mampu merancakkan hubungan dua hala.
“Moga hubungan istimewa Malaysia–Brunei terus diperkasa berlandaskan ukhuwah, kerjasama strategik serta aspirasi bersama, demi kestabilan dan kesejahteraan serantau. Menjunjung kasih Tuanku. Dirgahayu Tuanku,” katanya.
