28 OGOS : Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 yang diluluskan di Dewan Rakyat hari ini merupakan manifestasi jelas kerajaan tidak meminggirkan pekerja gig.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata RUU itu membuka laluan perlindungan untuk golongan itu.
“RUU ini adalah manifestasi jelas bahawa kerajaan tidak mahu membiarkan pekerja gig terus berada di pinggiran tanpa perlindungan sosial dan hak yang sah.
“Dengan kelulusan ini, pekerja gig akan diiktiraf kedudukannya di sisi undang-undang dan dilindungi dengan jaminan sosial yang lebih sistematik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
RUU tersebut diluluskan selepas dibahaskan 23 ahli Dewan Rakyat daripada blok kerajaan dan pembangkang.
Dalam kenyataan sama, beliau menzahirkan rasa syukur dengan kelulusan RUU itu yang disifatkan satu detik bersejarah di negara ini.
“Syukur Alhamdulillah, pada hari ini kita telah menyaksikan satu detik bersejarah apabila Rang Undang-Undang Pekerja Gig 2025 berjaya diluluskan di Dewan Rakyat.
“Kelulusan ini menandakan komitmen kerajaan untuk memastikan lebih 1.2 juta rakyat Malaysia yang terlibat dalam ekonomi gig mendapat perlindungan sewajarnya,” katanya.
Menurutnya, industri gig bukan lagi fenomena sementara sebaliknya ia sudah menjadi nadi baharu ekonomi negara yang melibatkan bidang seperti p-hailing, e-hailing, profesional digital bebas dan pelbagai perkhidmatan atas talian yang menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.
“Namun, realitinya sebelum ini ramai pekerja gig masih bekerja tanpa jaminan keselamatan sosial, hak dan suara yang jelas dalam sistem perundangan.
“Sehubungan dengan itu, saya menekankan kepentingan pelaksanaan yang telus, menyeluruh dan berkesan terhadap RUU ini,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata akan memantau dan berusaha untuk memastikan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM).
Ia bagi mengawal selia, menyelaras serta memantau perkembangan sektor ini secara khusus dan menjadi pemangkin kepada keseluruhan ekosistem ekonomi perkongsian ini.
“Termasuk pembekal, pembeli, penyedia khidmat, penyedia platform, pekerja GiG, pengguna dan pemacuan pengembangan ekonomi perkongsian ini secara keseluruhanya,” katanya.
Beliau sempat merakamkan penghargaan terhadap semua pihak yang terlibat khususnya Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam merangka RUU itu.
RUU itu juga katanya sebagai bukti jelas bahawa kerajaan sentiasa mendengar denyut nadi rakyat dan memastikan tiada sesiapa pun yang tercicir daripada arus pembangunan negara.