Malaysia-China mampu berdiri setara : PM Anwar

1 SEPT : Malaysia dan China mampu berdiri setara meski berbeza dari segi saiz, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Malah katanya, dalam suasana dunia yang penuh ketidaktentuan, keikhlasan persahabatan dengan China menjadi sesuatu yang amat berharga.
“Keputusan Malaysia mengiktiraf Republik Rakyat China pada 1974 adalah langkah berani berlandaskan keyakinan pada masa depan, yang berkembang menjadi kepercayaan.
“Setiap pertemuan saya dengan Presiden (China) Xi Jinping mengukuhkan kefahaman bahawa meskipun berbeza dari segi saiz, kedua-dua negara mampu berdiri setara dengan penuh hormat dan keikhlasan.
“Daripada asas inilah lahir kerjasama merangkumi projek infrastruktur yang menghubungkan ekonomi, kerjasama tenaga hijau dan ekonomi digital, malah kemudahan perjalanan antara rakyat kedua-dua negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas menyampaikan syarahan umum bertajuk ‘Sovereign Interdependence: Building A Shared Future in Asia’ di Universiti Tianjin, China sempena lawatan selama empat hari atas jemputan Xi Jinping.

Menurut Anwar, dalam kekalutan dunia ini kita bertanggungjawab dalam memastikan sejarah dan tatanan dunia masa hadapan ditulis dengan dakwat Asia.
“Hari ini kita menyaksikan tatanan dunia yang kian goyah. Peraturan dagangan berubah sesuka hati, kawalan eksport diumum dan ditarik balik sekelip mata dan perpecahan menjadi pilihan.
“Dalam kekalutan itu, kita punya tanggungjawab untuk memastikan sejarah dan tatanan dunia masa hadapan ditulis dengan dakwat Asia agar ia lebih adil, lebih terangkum dan memberi peluang kepada semua.
“Malaysia menawarkan jalan berbeza, yakni kedaulatan dalam kebergantungan. Ia bukan soal tunduk kepada orang lain, sebaliknya seni untuk berdiri teguh tanpa perpecahan,” katanya.
Kata Anwar lagi, negara boleh kekal sepenuhnya dengan pendirian dan kedaulatan, namun terbuka kepada aliran perdagangan, sumber dan teknologi yang diperlukan untuk mencapai kemakmuran bersama.
“Inilah semangat “harmony without uniformity” yang sudah lama berakar di Asia. Dari pelayaran Laksamana Zheng He hingga falsafah hé ér bù tóng, kita belajar bahawa tamadun mampu memperkayakan antara satu sama lain tanpa menghilangkan identiti.
“Kedaulatan dalam kebergantungan adalah terjemahan moden kepada semangat itu. Sebagai rantau yang kini memacu pertumbuhan global, Asia memikul amanah untuk memastikan aturan baharu ekonomi tidak membawa perpecahan, sebaliknya membina kemakmuran bersama.
“Perpecahan bukan sesuatu yang ditakdirkan. Kita boleh memilih jambatan atau membina tembok, memilih kerjasama atau persaingan sempit,” katanya.
Anwar menambah, jika semangat itu diteguhkan, Asia akan melangkah ke hadapan dengan bermaruah, kekal berpendirian namun terbuka antara satu sama lain.
“Di situlah lahir kekuatan kita dan di situlah kita memperteguh Asia di persada dunia,” katanya.