PM tersentuh lihat persembahan Hari Kebangsaan yang memukau
1 SEPT : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tersentuh melihat pelbagai persembahan yang bukan sahaja memukau sempena Hari Kebangsaan pada Ahad malah turut disemai dengan nilai-nilai perpaduan, kekitaan dan cinta tanah air.
Beliau tersentuh dengan kehadiran lautan rakyat yang membanjiri setiap sudut di Dataran Putrajaya sejak awal pagi.
“Semoga semangat perpaduan ini terus dipelihara dan diperkuatkan demi masa depan Malaysia yang harmoni, sejahtera dan berdaya saing,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mengiringi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah ke sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya pada pagi Ahad.
Menurut Anwar, sambutan yang berlangsung dalam suasana harmoni serta bermakna itu dihadiri rakyat pelbagai latar belakang dengan penuh semangat patriotik bersama barisan menteri Kabinet.
“Malaysia hanya akan terus maju jika rakyatnya melangkah bersama sebagai satu keluarga besar yang menghargai perbezaan dan meraikan persamaan.
“Merdeka! Merdeka! Merdeka!,” katanya.
Dalam hantaran berasingan, beliau sempat menzahirkan penghargaan kepada kepada semua petugas keselamatan, sukarelawan, penjawat awam serta semua yang bertungkus-lumus menjayakan sambutan Hari Kebangsaan dengan penuh dedikasi
“Luar biasa…Tidak lupa, terima kasih kepada para hadirin yang hadir untuk bersama-sama meraikan detik bermakna ini sebagai satu rakyat, satu negara.
“Kehadiran dan komitmen semua melambangkan kekuatan sebenar Malaysia kekuatan yang lahir daripada perpaduan, saling menghormati dan rasa cinta terhadap tanah air tercinta ini,” katanya.

*OLEH : HANUM RAJAK