6 SEPT : Sebanyak 31 akaun palsu yang menyalahgunakan nama Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) dipadam.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata kewujudan akaun palsu itu mengelirukan orang ramai yang menjejaskan fokus NSRC.
“MCMC sudah mengenal pasti dan memadam 31 akaun palsu di Facebook yang menyalahgunakan nama NSRC.
“Tindakan tidak bertanggungjawab ini bukan sahaja mengelirukan orang ramai, malah turut menggugat usaha serta menjejaskan fokus NSRC dalam melindungi masyarakat daripada jenayah penipuan dalam talian,” kata suruhanjaya itu dalam satu kenyataan pada Khamis.
Dalam pada itu, MCMC menegaskan bahawa maklumat rasmi mengenai NSRC hanya boleh diperoleh melalui saluran agensi penguat kuasa yang sah.
“Orang ramai digesa sentiasa berwaspada, melaporkan sebarang akaun atau mesej meragukan kepada pihak berkuasa serta bersama mempertahankan integriti NSRC,” kata MCMC.
Menurut MCMC, pihaknya akan terus bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), NSRC dan penyedia platform media sosial bagi mengekang penyebaran akaun serta maklumat palsu demi keselamatan pengguna Internet di Malaysia.