6 SEPT : Kerajaan melihat penggunaan MyKad dalam program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebagai mekanisme terbaik untuk mengelakkan penyelewengan atau ketirisan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata ia dapat dibuktikan melalui kelancaran transaksi Penghargaan SARA setakat ini.
“Hari ini, Kementerian Kewangan memaklumkan sistem stabil, manakala jumlah yang diproses setiap hari semakin meningkat.
“Ini merupakan petunjuk positif bahawa penggunaan MyKad, khususnya dalam program SARA, adalah cara terbaik untuk memastikan tiada penyelewengan atau ketirisan dalam pembelian barangan asas,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Sembang Santai Komuniti MADANI di Lahad Datu, hari ini.
Terdahulu, Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan memaklumkan pelaksanaan Penghargaan SARA semalam berjalan lancar.
Menurut kementerian itu, jumlah jualan mencecah RM107.1 juta membabitkan 1.7 juta penerima dengan kadar transaksi berjaya kekal stabil pada 99 peratus.
Secara keseluruhan, lebih 8.3 juta rakyat sudah membeli barangan keperluan asas dengan jumlah perbelanjaan mencecah RM536 juta seluruh negara setakat hari kelima dilaksanakan sejak 31 Ogos lalu.