8 SEPT : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperkenalkan Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME), sebuah inisiatif yang dibangunkan untuk memastikan komunikasi moden dapat dikekalkan ketika bencana, kecemasan atau di kawasan yang tidak mempunyai liputan infrastruktur komunikasi.
Melalui PRIME, agensi penyelamat, pasukan penguat kuasa serta pihak berkuasa tempatan dapat berkoordinasi dengan lebih pantas, yang membantu meningkatkan keberkesanan misi menyelamat dan memastikan penyampaian maklumat tepat kepada masyarakat.
PRIME menggabungkan pelbagai teknologi terkini termasuk komunikasi satelit, rangkaian selular mudah alih, radio dua hala, Wi-fi hotspot dan penggunaan dron bagi memperluaskan liputan serta menyampaikan maklumat secara terus di lokasi kritikal.
Sistem ini turut menyediakan rangkaian komunikasi sementara di kawasan terjejas; menyokong operasi penyelamatan; membantu penyampaian maklumat sahih kepada penduduk serta memastikan pengagihan bantuan kemanusiaan lebih teratur.
Setakat ini, sebuah unit PRIME sudah dilancarkan di Cyberjaya pada 16 Jun untuk kegunaan di Semenanjung Malaysia sebelum unit keduanya dilancarkan di Tawau, Sabah pada 7 September.
Meskipun diutamakan ketika bencana, PRIME turut dimanfaatkan untuk program outreach dan literasi digital di kawasan luar bandar, menyokong pusat komuniti digital NADI (National Information Dissemination Centre) serta memperkukuh komunikasi semasa acara berskala besar yang memerlukan sistem tambahan.
Menurut MCMC, PRIME juga menjadi pelengkap kepada rangkaian NADI kerana ia mampu menyediakan akses internet dan siaran maklumat bergerak khususnya di kawasan pedalaman bagi memastikan komuniti setempat tidak ketinggalan daripada arus komunikasi digital.
Sistem ini diutamakan untuk agensi penyelamat dan penguat kuasa seperti NADMA; Polis Diraja Malaysia; Jabatan Bomba dan Penyelamat; Angkatan Tentera Malaysia; agensi kerajaan negeri dan daerah ketika bencana.
Selain itu, komuniti tempatan turut boleh mengakses kemudahan ini melalui program NADI.
Dengan adanya PRIME, Malaysia kini mempunyai infrastruktur komunikasi bergerak yang mampu digerakkan ke kawasan terputus rangkaian.
Langkah ini dilihat sebagai usaha memperkukuh kesiapsiagaan negara bagi memastikan tindakan lebih cepat, terancang dan berkesan dapat dilaksanakan demi menyelamatkan nyawa serta harta benda.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai PRIME melalui laman web rasmi MCMC di www.mcmc.gov.my, e-mel aduan@mcmc.gov.my atau menghubungi Pusat Panggilan MCMC di talian 1800-188-030.

*FOTO : FACEBOOK FAHMI FADZIL
*OLEH : AISYAH BADRUL