KENYATAAN MEDIA
NAIB PRESIDEN UMNO
Saya mengambil perhatian terhadap tindakan MIC yang menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) melalui wakilnya, Timbalan Ketua Pemuda MIC, K Kesavan, baru-baru ini.
Langkah ini telah menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan rakan-rakan komponen Barisan Nasional (BN), khususnya UMNO, memandangkan hubungan antara BN dan Bersatu pada hakikatnya mempunyai sejarah serta cabaran yang tersendiri.
Jemputan Bersatu kepada parti-parti komponen BN untuk hadir ke perhimpunan mereka jelas mempunyai implikasi tertentu yang boleh menjejaskan perpaduan dalam BN.
Justeru, adalah amat penting bagi kita semua sebagai rakan lama untuk lebih berhati-hati dalam sebarang tindakan yang boleh mengundang tafsiran berbeza.
UMNO sentiasa konsisten mengutamakan semangat setiakawan dalam BN. Malah, di negeri-negeri di mana UMNO mempunyai kedudukan yang lebih baik seperti di Pahang, MIC tetap diberikan tempat yang sewajarnya dan sering dipertahankan atas dasar kebersamaan.
Oleh itu, saya menyeru agar MIC bersama-sama UMNO dan parti komponen lain untuk terus memperkukuh Barisan Nasional, membina kembali kekuatan kita secara kolektif, serta tidak memberi ruang kepada pihak luar yang pernah meninggalkan kita ketika berdepan waktu sukar.
Percayalah, hanya dengan semangat muafakat dan kebersamaan, BN akan kembali menjadi wadah yang kuat dan dihormati.
DATUK SERI WAN ROSDY WAN ISMAIL
Naib Presiden UMNO
Pengerusi Barisan Nasional Negeri Pahang