10 SEPT : Kerajaan bersetuju secara dasar bersetuju dengan pengasingan peranan peguam negara dan pendakwa raya secara sepenuhnya.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata keputusan itu dicapai dalam mesyuarat jemaah menteri, hari ini.
Katanya, pertimbangan dibuat selepas pembentangan beberapa model pengasingan yang dilaksanakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, pagi tadi.
“Jemaah menteri hari ini membuat keputusan sangat bersejarah iaitu kerajaan bersetuju secara dasar mengasingkan peranan peguam negara dan pendakwa raya secara sepenuhnya.
“Azalina telah membentangkan beberapa model pengasingan kepada jemaah menteri pagi tadi dan setelah memberi pertimbangan yang menyeluruh, jemaah menteri memutuskan untuk melaksanakan cadangan pengasingan penuh di mana kedua-dua jawatan ini diwujudkan secara berasingan dan setara dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi memaklumkan perkara itu pada sidang media selepas mesyuarat jemaah menteri, hari ini.
Menurut Fahmi, keputusan ini diambil setelah meneliti laporan akhir dan hala tuju yang disediakan pasukan petugas khas komparatif yang dipengerusikan Azalina.