10 SEPT : Kementerian Komunikasi mengesahkan WeChat, TikTok dan Telegram sudah dilesenkan setakat 31 Ogos.
Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil berkata pihaknya masih meneruskan perbincangan bersama Meta dan Google untuk tujuan sama.
“Platform X pula memaklumkan jumlah penggunanya di negara ini tidak mencapai nilai ambang 8 juta untuk memenuhi keperluan pelesenan.
“Namun, MCMC sedang menjalankan kajian baharu secara menyeluruh bagi menentukan jumlah pengguna di platform berkaitan di bawah kerangka pelesenan ini.
“MCMC akan meneliti jika ada keperluan platform termasuk X didaftarkan sebagai pemegang Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi [ASP(C)],” katanya.
Meta melibatkan Facebook, Instagram dan WhatsApp sementara Google bagi platform YouTube.
Fahmi berkata demikian menerusi jawapan bertulis kepada Dewan Negara bagi menjawab soalan Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli.
Mohd Hatta membangkitkan soal perkembangan terkini perbincangan dengan platform media sosial yang belum memperoleh lesen di bawah ASP(C) dan halangan menyebabkan proses itu berlarutan agak lama.
Menurut Fahmi, usaha itu bagi memastikan isu berkait pelaksanaan dan penguatkuasaan kerangka pelesenan dapat diselesaikan dengan sewajarnya, selaras matlamat mewujudkan persekitaran dalam talian lebih selamat serta bertanggungjawab.
Dalam pada itu kataanya, MCMC juga sentiasa mengekalkan komunikasi secara terbuka dengan penyedia perkhidmatan yang masih belum memperoleh ASP(C) di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
“Proses pelesenan ini memerlukan masa kerana membabitkan penyelesaian pelbagai isu berkaitan pelaksanaan dan penguatkuasaan kerangka pelesenan bersama penyedia perkhidmatan asing berskala besar.
“Perbincangan merangkumi aspek teknikal, operasi dan pematuhan undang-undang kompleks yang memerlukan penelitian terperinci,” katanya.