10 SEPT : Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan udara Israel ke atas ibu negara Qatar, Doha.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan rejim itu satu pencabulan serius terhadap undang-undang antarabangsa.
“Tindakan ganas ini merupakan pelanggaran terang-terangan terhadap kedaulatan Qatar dan satu pencabulan serius terhadap undang-undang antarabangsa.
“Ia membahayakan nyawa orang awam secara melulu, menyerang jantung ibu kota yang berdaulat, dan mengancam untuk memburukkan lagi keadaan di rantau yang sudah pun rapuh,” katanya dalam satu kenyataan.
Media antarabangsa melaporkan beberapa letupan kuat menggegarkan Doha, tidak lama selepas Israel mendedahkan kepada The Associated Press (AP) bahawa pihaknya menyasarkan pemimpin Hamas di Doha.
Dalam pada itu, menurut Anwar, serangan Israel itu menunjukkan penghinaan sepenuhnya kepada keamanan dan diplomasi.
“Dengan menyasarkan Qatar, sebuah negara yang menjadi teras kepada usaha pengantaraan dan dialog di Timur Tengah, Israel telah menunjukkan penghinaan sepenuhnya terhadap keamanan dan diplomasi.
“Serangan sedemikian tidak dapat dipertahankan dan sama sekali tidak boleh diterima,” katanya.
Beliau menegaskan Malaysia berdiri teguh bersolidariti dengan Qatar dan menyeru masyarakat antarabangsa agar memikul tanggungjawab untuk memastikan Israel dipertanggungjawabkan atas pencerobohan yang keterlaluan itu.
FOTO : REUTERS