11 SEPT : Pendaftaran kad SIM prabayar akan menggunakan MyDigital ID menjelang hujung tahun ini atas faktor keselamatan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata kerajaan akan mengarahkan syarikat-syarikat telekomunikasi untuk memastikan perkara itu
“Dalam Mesyuarat Rangka Kerja Ekonomi Digital Madani (MED4IR) yang telah berlangsung semalam (kelmarin) ada dibincangkan aspek pendaftaran kad SIM.
“Syarikat-syarikat telekomunikasi akan diarah untuk memastikan proses pendaftaran bagi kad SIM prabayar akan menggunapakai pendaftaran menggunakan MyDigital ID. Ini akan mula dikuat kuasa insya-Allah pada hujung tahun ini. Mungkin dalam bulan November atau Disember,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat jemaah menteri pada Rabu.
Menurutnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan mengumumkan maklumat yang lebih terperinci berkait perkara itu.
Kata Menteri Komunikasi itu, apendaftaran menggunakan mydigital ID itu menyokong ke arah aspek keselamatan yang lebih baik.
Mengulas soal laporan sebuah akhbar berkait perkara itu, Fahmi berkata beliau sudah meneliti laporan berkenaan dan semua aspek akan dinilai.
“Kita akan menilai aspek-aspek termasuk pada waktu ini jumlah simkad yang boleh didaftar atas satu nama kita dapati adalah sangat tinggi.
“Contohnya Divya boleh daftar dengan satu telco sebanyak lima simkad. kalau kita ada 12 (syarikat telco) maksudnya Divya sendiri boleh ada 60 simkad.
“Tapi aspek ini yang kita sedikit risau kerana memang hasrat kita untuk memastikan aspek keselamatan termasuk bagi pengguna media sosial. Jadi, pendaftaran nombor-nombor telefon ini juga merupakan salah satu cara untuk kita menutup kelompangan,” katanya.