Isu keselamatan LNG Bintulu, PM jamin tidak jejas operasi

11 SEPT : Isu keselamatan yang timbul di Bintulu tidak menjejaskan operasi eksport gas asli cecair (LNG).
Jaminan itu disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata setakat ini tiada penurunan dalam permintaan eksport LNG, kerana langkah kawalan keselamatan telah dilaksanakan sepenuhnya di kawasan strategik berkenaan.
“Setakat ini tidak timbul isu penurunan permintaan eksport. Ia dipandang serius kerana kawasan itu sangat strategik dan berbahaya jika berlaku ancaman.
“Apabila terdapat ugutan, PETRONAS memaklumkan kepada saya dan kita telah mengerahkan pasukan polis serta keselamatan untuk mengawal keadaan sepenuhnya,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri pertemuan dengan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Sarawak, hari ini.
Terdahulu, kerajaan mengarahkan semua fasiliti LNG milik PETRONAS memperketat kawalan keselamatan serta-merta, susulan ugutan diterima seorang pegawainya di Bintulu bagi membolehkan siasatan segera dilakukan.
Pegawai tersebut kemudiannya membuat laporan polis selepas menerima beberapa ugutan melalui SMS daripada individu tidak dikenali.
Nombor telefon itu dikesan berdaftar dari Indonesia dan polis meminta bantuan polis republik itu untuk menjejaki nombor telefon yang digunakan untuk menghantar mesej ugutan berkenaan.