11 SEPT : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menghormati keputusan mahkamah berkait larangan kepada Telegram dan dua pentadbir saluran Edisi Siasat serta Edisi Khas.
Menurut suruhanjaya itu, pihaknya akan terus memantau pematuhan terhadap perintah mahkamah tersebut.
“MCMC mengambil maklum dan menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini berhubung permohonan MCMC untuk mendapatkan perintah injunksi sementara dalam kes sivil melibatkan pihak Telegram.
“Melalui keputusan tersebut, Mahkamah telah mengeluarkan perintah injunksi larangan sementara (interim prohibitory injunction) yang melarang pihak defendan termasuk pentadbir akaun Edisi Siasat, Edisi Khas, serta pihak Telegram daripada menerbitkan, menyebarkan atau mengulang siar kandungan yang dipertikaikan sebagaimana dinyatakan dalam tuntutan MCMC,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Telegram serta dua pentadbir dua saluran Edisi Siasat dan Edisi Khas dihalang daripada menyebar atau menerbit 33 artikel yang memudaratkan.
Menurut MCMC, keputusan mahkamah itu selaras dengan peranan MCMC di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) untuk melindungi kepentingan pengguna dan memastikan platform digital tidak disalahgunakan.
MCMC memaklumkan, isu- isu lain yang terkandung dalam tindakan undang-undang akan diputuskan pada perbicaraan penuh kelak.
“MCMC kekal komited untuk memastikan ruang digital di Malaysia lebih selamat agar rakyat tidak terdedah kepada penipuan, kandungan berbahaya dan ancaman penyalahgunaan,” kata suruhanjaya itu.
FOTO : LAWFARE