Industri semikonduktor makin kukuh, tarik pelabur

12 SEPT : Ekosistem industri semikonduktor negara semakin kukuh yang mampu untuk terus menarik pelabur antarabangsa memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia hasil infrastruktur sedia ada, rantaian bekalan mantap dan tenaga kerja berkualiti.
“Kita berjaya kerana mempunyai infrastruktur lengkap, rantaian bekalan menyeluruh dan ekosistem dengan tenaga kerja yang betul dan berdisiplin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian pembesaran kemudahan pembuatan semikonduktor X-FAB bernilai RM3 bilion di Taman Teknologi Tinggi Samajaya di Kuching, hari ini.
Pada masa sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan akui Malaysia berdepan cabaran untuk mendapatkan pakar industri semikonduktor bertaraf antarabangsa.
Justeru itu, beliau melahirkan penghargaan terhadap keyakinan X-FAB, syarikat semikonduktor berpangkalan di Jerman itu yang terus melabur di Malaysia, khususnya Sarawak.
“Pelaburan RM3 bilion oleh X-FAB mencerminkan keyakinan terhadap kerajaan negeri Sarawak di bawah pimpinan Premier Tan Sri Abang Johari Openg.
“Kerajaan negeri yang progresif memudahkan usaha Kerajaan Persekutuan dalam mempercepatkan agenda pelaburan dan pembangunan,” katanya.
Beliau turut memuji usaha universiti tempatan menubuhkan Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) di mana katanya ia selari dengan agenda kerajaan memacu pembangunan teknologi tinggi.
Katanya, universiti mesti mesti bergandingan dengan industri dalam memastikan latihan dan penyelidikan bersifat praktikal serta relevan.
“Walaupun kita ada tenaga kerja yang rajin dan berdedikasi, usaha sinergi antara industri dan universiti perlu diperkukuh bagi menghasilkan graduan yang bersedia memasuki industri,” katanya.
