12 SEPT : Malaysia turut berdukacita terhadap bencana banjir yang melanda Bali, Indonesia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita atas kehilangan nyawa dalam insiden banjir kilat itu.
“Saya amat berdukacita atas kehilangan nyawa yang tragis akibat banjir kilat di Bali.
“Doa dan ingatan saya bersama keluarga yang telah kehilangan orang tersayang serta semua yang terjejas dari segi tempat tinggal dan mata pencarian,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Setakat ini, dilaporkan 15 nyawa terkorban dalam insiden banjir kilat yang melanda dua pulau di Indonesia iaitu Pulau Flores dan Bali susulan hujan lebat.
Anwar turut menyatakan teguh berdiri dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dan rakyat republik itu.
“Dalam saat yang penuh kepedihan ini, saya berdiri teguh bersama Presiden Prabowo dan rakyat Indonesia.
“Malaysia turut berdukacita bersama anda dan kami akan terus menyimpan rakyat Bali dalam hati kami sepanjang mereka melalui proses pemulihan daripada bencana ini,” katanya.