KENYATAAN MEDIA
KEMENTERIAN LUAR NEGERI
Sebagai tanda solidariti bersama Palestin dan sokongan masyarakat antarabangsa terhadap usaha untuk merealisasikan penyelesaian dua negara dan mengiktiraf Negara Palestin, Malaysia telah mengundi menyokong Resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Deklarasi New York pada 12 September 2025. Resolusi tersebut telah diterima pakai dengan sokongan majoriti besar Negara Anggota PBB dengan 142 undi.
Komitmen kolektif dan penerimaan masyarakat antarabangsa ke atas penyelesaian dua negara dan pengiktirafan Negara Palestin merupakan langkah penting ke arah menamatkan pendudukan haram Israel dan jenayah keganasan rejim Zionis Israel. Ini telah mendorong Malaysia untuk membuat keputusan untuk menyokong Resolusi ini.
Dalam Kenyataan Negara selepas proses pengundian, Malaysia telah menegaskan bahawa penyelesaian dua negara dan pengiktirafan Negara Palestin perlu direalisasikan tanpa sebarang pra-syarat, berdasarkan persempadanan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin.
Malaysia menegaskan bahawa kedaulatan dan keutuhan wilayah Palestin, dan hak pulang ke tanah air bagi jutaan pelarian Palestin, yang terjamin di bawah undang-undang antarabangsa, mesti dijadikan sebahagian daripada penyelesaian isu ini.
Malaysia menggesa supaya kelemahan dan kekurangan Deklarasi New York ini ditangani sepenuhnya melalui langkah-langkah konkrit dan penetapan pelan tindakan yang melindungi dan memelihara kebebasan dan hak kenegaraan rakyat Palestin; menghormati kehendak dan aspirasi rakyat Palestin; menjamin keselamatan Palestin; dan memastikan akauntabiliti dikenakan ke atas Israel bagi pencabulan undang-undang antarabangsa, jenayah genosid, jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.
Malaysia menegaskan bahawa Deklarasi ini perlu membuka jalan untuk menamatkan peperangan dan kekejaman rejim Zionis Israel ke atas Gaza dengan serta merta, dan bencana kemanusiaan di Wilayah Palestin dalam mencapai keamanan yang berkekalan di rantau Timur Tengah.
KEMENTERIAN LUAR NEGERI