PM jamin harga RON95 turun RM1.99 seliter hujung bulan ini

13 SEPT : Kerajaan memberi jaminan harga petrol RON95 akan diturunkan kepada RM1.99 seliter, hujung bulan ini seperti yang dijanjikan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan komited untuk menunaikan janji yang ditabur sebelum ini.
“Ada yang marah kerana September sudah tiba tetapi harga minyak belum turun. Saya kata sebelum akhir September. 10 September akhir bulan ke? 15 September akhir bulan ke? Tunggu sekejap. Turun atau tidak? Turun.
“Cuba beritahu saya, negara mana lagi yang bagi rakyat harga serendah ini? Kita janji, kita tunaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Program Rapat Umum 27 Tahun Reformasi Peringkat Negeri Johor, hari ini.
Anwar pada 23 Julai lalu telah mengumumkan harga petrol RON95 akan turun kepada RM1.99 seliter selepas penyasaran subsidi bahan bakar itu dilaksanakan yang akan memberi manfaat kepada 18 juta pemandu kereta dan penunggang motosikal termasuk pekerja gig.
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, tanpa subsidi daripada kerajaan, rakyat terpaksa membayar RON95 sehingga RM2.60 seliter.
“Jika bukan rakyat Malaysia mungkin kena bayar RM2.50 atau RM2.60, tetapi rakyat (warganegara) hanya bayar RM1.99.
“Tengoklah mana-mana negara lain, mana ada yang turun harga minyak. Tiada,” katanya.
